Isnin, 23 April 2012

Amanah Kunci Keamanan


Dari Huzaifah, katanya: “Diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada kami dua buah hadis; salah satu dari padanya telah saya lihat kenyataannya; dan sekarang saya sedang menunggu kenyataan hadis yang kedua. Hadis yang pertama, bahawa amanah itu turun lalu masuk ke lubuk hati orang, Kemudian turun Al-Quran lalu menjadi pedomannya, demikian pula sunnah Rasulullah SAW. Hadis yang kedua, tentang pencabutan amanah. Kata Rasulullah SAW: “Seseorang tidur sekejap lalu dicabut amanah dari hatinya dan tinggallah bekasnya seperti titik yang kecil; kemudian ia tidur pula lalu dicabut lagi sisa amanah itu, dan hanya tinggal seperti bengkak kecil di telapak tangan yang timbul setelah mengerjakan sesuatu dengan memakai kapak atau sebagai bengkak di kaki kerana memijak bara, isinya hanya sedikit cairan. Pada masa itu kelak hampir saja tak ada lagi amanah dalam masyarakat sehingga dikatakan: “Oh, di sana ada orang yang amanah; kata orang kepadanya; alangkah sabarnya, alangkah baiknya, alangkah cerdiknya; tetapi sebenarnya batin orang itu kosong dari keimanan, Kata Huzaifah:” Pada masa yang silam, zaman kejujuran itu telah ku alami, sehingga saya biasa berniaga dengan siapa pun; jika dengan orang Muslim ia jujur kerana agamanya, jika dengan orang Nasrani atau Yahudi maka kejujuran itu ada di tangan atasannya.” Adapun zaman sekarang, aku tidak mahu lagi berniaga kecuali dengan si Anu dan si Anu (kerana amanah)”  riwayat (Muslim)

 

Dunia hari ini sering digemparkan dengan berita-berita mengenai pecah amanah di sana sini. Bapa merogol anak, bayi baru lahir dibuang, warga tua diragut, kanak-kanak didera, dan berbagai-bagai lagi kejadian yang menyentuh hati dan membangkitkan kemarahan banyak pihak. Semuanya berpunca daripada hilangnya sifat amanah dari jiwa manusia. Sesungguhnya di akhir zaman ini amat sukar untuk mencari orang yang benar-benar amanah sedangkan apa jua perkara dan tindakan yang diambil perlukan sifat amanah. Seorang bapa yang khianat tidak akan menjaga anak yang menjadi amanah Allah kepadanya bahkan diperkosa anaknya sendiri atau dia berzina dengan wanita lain. Begitu juga dengan kerajaan yang dipimpin oleh penguasa yang tidak amanah sudah pasti suatu hari nanti umat akan hancur. Fakir yang sombong juga tidak akan sudi menerima bantuan dan perhatian orang lain sedangkan ia sangat memerlukannya. Kesudahannya hidupnya tidak akan berubah sampai bila-bila hinggakan kefakiran tersebut membawanya kepada kekufuran. Hakikatnya janganlah kita mengkhianati amanah sedangkan kita mengetahuinya. Balasannya di hari akhirat kelak amat dahsyat menunggu kita.


Ahad, 22 April 2012

Ayuh Kita Tentang dan Cegah gejala LGBT di Malaysia


" umat Islam yang menyokong termasuk terlibat dalam menganjurkan program Seksualiti Merdeka yang mempromosikan seks bebas, disifatkan sebagai syirik kepada Allah" -Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria

"Isu Sekualiti Merdeka yang berselindung di sebalik slogan hak asasi manusia dan kebebasan adalah doktrin untuk menghancurkan manusia" -Ustaz Fathul Bari Mat Jahaya, aktivis Ilmuan Muda Malaysia

melahirkan kegusaran dan kebimbangan akan menularnya fahaman liberal dan songsang dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia yang bertopengkan "hak asasi manusia". MUIS berpendirian hak asasi manusia adalah sesuatu yang diiktiraf oleh Islam. Namun begitu, penerimaan hak asasi ini mestilah diterima di dalam ruang lingkup yang tidak meyanggahi prinsip-prinsip agama dan nila-nilai moral, budaya, etika dan adab sopan. sebarang aktiviti sonsang sebegini bukan sahaja menyentuh sensiviti umat Islam malah boleh dianggap satu usaha ke arah mencabar kedaulatan negara berpaksikan Islam sebagai agama Persekutuan. -Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (MUIS)

Allah S.W.T berfirman : "Dan (ingatlah kisah) Luth, ketika ia berkata kepada kaumnya: "mengapa kamu mengerjakan perbuatan keji itu sedang kamu melihat(nya). Mengapa kamu mendatangi laki-laki untuk (memenuhi) nafsu(mu), bukan mendatangi wanita?. Sebenarnya kamu adalah kaum yang tidak dapat mengetahui (akibat perbuatanmu)." (surah an-Naml: ayat: 54-55)

dan Allah S.W.T berfirman lagi: "Maka tatkala datang azab Kami, Kami jadikan negeri kaum Luth itu yang di atas ke bawah (Kami balikkan), dan Kami hujani mereka dengan batu dari tanah yang terbakar dengan bertubi-tubi, yang diberi tanda oleh Tuhanmu, dan seksaan itu tiadalah jauhdari orang-orang yang zalim." (surah Hud: ayat 82-83)

masyarakat perlu sedar bahawa golongan LGBT ini merupakan satu budaya yang tidak boleh diterima norma masyarakat dan ditentang habis-habisan oleh agama Islam. malangnya masyarkat hari ini tidak tahu bagaimana mereka dapat membantu golongan-golongan ini untuk kembali ke jalan yang lurus. harus diingatkan sebagai umat Islam tanggungjawab mencegah kemungkaran yang ada disekeliling kita adalah wajib. oleh itu sama-sama kita turun padang untuk membantu golongang ini. jangan sesekali kita mengelak berhadapan dengan mereka dan meminggirkan golongan ini.

bantulah apa jua kemampuan dan kepakaran yang ada pada diri kita. kita tidak hanya boleh harapkan atau lepaskan tanggungjawab membanteras gejala ini kepada pihak berkuasa atau kerajaan. tetapi ini adalah tanggungjawab bersama. ayuh kita cegah semoga negara Malaysia ini tidak menghasilkan golongan yang boleh merosakkan bangsa dan agama pada masa hadapan. sesungguhnya jika kita tidak bersama mencegah, maka Allah pasti akan menurunkan bala bencana yang dasyat atas kelekaan kita pada duniawi semata-mata. semoga apa yang kita buat Allah sahaja yang membalas kebaikan kita.InsyaAllah


by: Ayo Kezambo

Selasa, 17 April 2012

Akidah bersih personaliti Muslim


Contohi sifat intelektual Rasulullah SAW ketika berfikir

PEMBENTUKAN dan pengembangan peribadi Muslim yang dikehendaki Allah SWT ialah sahsiah yang soleh dari segi tutur kata serta perbuatan. Walaupun peribadi mulia yang diterjemahkan setiap manusia berbeza, al-Quran tetap menggariskan prinsip sama sejak mula diikuti umat Islam.
Umat Islam perlu membina peribadi teguh dalam dunia tanpa sempadan kerana jika tidak, mereka akan ketinggalan dalam soal agama, akhlak dan kepemimpinan. Jika kita tidak mengejar masa, sudah tentu kita ketinggalan dan lemah, sedangkan umat Islam kuat kerana ilmu.


Peribadi soleh termasuk kekuatan fizikal yang memungkinkan umat Islam menjalankan ibadah dan perintah Allah dengan sempurna tanpa bergantung kepada bantuan orang


Untuk membina personaliti Muslim dihormati ialah dengan akidah yang bersih. Muslim perlu mempunyai ikatan kuat dengan Allah SWT supaya mereka percaya kepada qada dan qadar serta dunia selepas kiamat. 

Muslim juga yakin dan cekal dengan ujian Allah SWT jika mereka mempunyai akidah bersih serta tidak berpatah arang menghadapi cabaran mendatang. Mutakhir ini, persoalan akidah menjadi semakin kritikal apabila segelintir Muslim menukar akidah dan memilih cara hidup bertentangan Islam.

Hakikat ini perlu ditangani dengan teliti kerana ia bukan saja memerlukan pengertian keesaan Allah SWT semata-mata tetapi bagaimana untuk meneguhkan keimanan dan ketakwaan. Seterusnya setiap Muslim perlu menunaikan ibadah hakiki kepada Allah SWT seperti diajarkan Rasulullah SAW.

Beza kehambaan kepada Pencipta bukan diukur dengan pakaian buruk dan jalan tunduk, tetapi keikhlasan beribadah serta tidak berbangga dengan perbuatan baik yang dilakukan atau mempunyai niat sebaliknya. 
Peribadi soleh termasuk kekuatan fizikal yang memungkinkan umat Islam menjalankan ibadah dan perintah Allah dengan sempurna tanpa bergantung kepada pertolongan atau bantuan orang. Jika mempunyai kesihatan baik, umat Islam tentu dapat menjalankan amanah dengan baik.

Muslim sentiasa berdepan cabaran dan tohmahan Barat yang sering mengacau keharmonian dan kemakmuran umat Islam di seluruh dunia. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Mukmin yang kuat lebih aku cintai daripada mukmin yang lemah.” (Hadis riwayat Muslim) 

Peribadi Muslim juga perlu kepada cara berfikir yang intelek kerana salah satu sifat Rasulullah ialah cerdas dan tangkas dalam membuat keputusan disebabkan keintelektualan Baginda. Setiap apa yang dilakukan, diperkatakan atau diam sekalipun, ia bermula dengan berfikir. Sebab itu individu Muslim yang cemerlang ialah yang bijaksana dan bertimbang rasa. 

Satu aspek lain tidak kurang pentingnya dalam membina peribadi seorang Islam ialah mesti berjuang memerangi hawa nafsu yang jahat. Sebagai manusia, kita mempunyai kecenderungan kepada yang baik atau buruk dan jika terdorong melakukan maksiat, daya juang melawan hawa nafsu akan menyelamatkan tetapi jika sebaliknya, kita tidak akan mampu membina peribadi Muslim sepatutnya. 

Dalam kesibukan melakukan tugas seharian, setiap Muslim perlu memastikan peribadi mereka terjaga dengan menepati masa. Allah mengingatkan manusia supaya menjaga masa kerana dengan jumlah masa yang sama ada antara kita untung dan ada yang rugi. Waktu yang pergi tidak kembali.

Muslim juga perlu berdisiplin dan profesional dalam sesuatu urusan. Mereka mesti tekun, bijak berinteraksi, berintegriti dan amanah. Jangan orang Islam dijadikan contoh ikutan tidak baik dalam kalangan manusia pelbagai agama dan bangsa sedangkan Islam adalah agama yang sempurna.

Kuasa pula mempunyai impak luar biasa. Amar makruf dan nahi mungkar juga boleh direalisasikan jika kita mempunyai kuasa. Muslim harus mempunyai kuasa supaya peribadi mereka tidak terhalang oleh doktrin kuasa lain yang membantutkan kegemilangan tamadun Islam.

Setiap Muslim mesti memastikan dirinya bermanfaat kepada orang lain. Kebajikan, kebaikan dan amalan baik dilakukan perlu saling dirasai oleh umat Islam lain khasnya atau seluruh manusia amnya.

Dunia akan gelap gelita jika tidak ada umat Islam kerana sebagai bangsa terpilih adalah satu unit penting dalam hierarki alam.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.”


Orang jahil berlagak pandai suka mendustakan kebenaran


Negara porak peranda jika masyarakat terpengaruh 

IMAM al-Bukhari menyebut, kewajipan seorang Muslim sebelum beramal adalah berilmu. Jangan sesekali menghina dan memandang rendah akan kemampuan mereka yang memiliki ilmu. Islam melihat ilmu dan amal sebagai penyumbang kepada kehidupan bahagia di dunia dan akhirat.
Allah berfirman yang bermaksud: “Katakanlah: Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang berakal yang dapat menerima pelajaran.” (Surah Az-Zumar, ayat 9)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa menginginkan soal yang berhubungan dengan dunia, wajiblah ia memiliki ilmunya dan barang siapa yang ingin (selamat dan berbahagia) di akhirat, wajiblah ia mengetahui ilmunya pula; dan barang siapa yang menginginkan kedua-duanya, wajiblah ia memiliki ilmu kedua-duanya pula.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 

Ilmu adalah elemen pembangunan yang penting dalam menjamin kelangsungan hidupnya hati kita. Kata Saidina Ali Bin Abi Talib: “Hidupnya hati adalah berkat bertambahnya ilmu sedangkan matinya hati akibat ketiadaan ilmu. Sihatnya hati berkat keyakinan sedangkan sakitnya hati akibat keraguan.” 

Bagaimanapun akhir-akhir ini golongan yang tidak berilmu cenderung berlagak seperti mereka berilmu tinggi. Natijahnya membawa kepada porak peranda kehidupan manusia dan kemusnahan binaan ilmu yang sebenar. 

Secara bandingannya, seseorang doktor tidak dibenarkan memeriksa dan memberi ubat kepada pesakit melainkan setelah dia lulus dalam bidang perubatan dengan baik. Jika ahli akademik berlagak doktor dengan memberi ubat kepada pesakitnya tentulah memudaratkan pesakitnya. 
Seseorang itu tidak diluluskan kemampuannya membina bangunan tinggi melainkan setelah dia memiliki kelulusan dalam bidang binaan melalui ilmu seni bina yang dikuasainya. Jika dilakukan juga tanpa memiliki ilmu, pasti boleh menyebabkan berlaku keruntuhan bangunan walaupun dia mungkin mempunyai bakat dan gaya menjadi jurubina. 

Elemen kemusnahan dan kerosakan terjadi apabila yang tidak berilmu dalam aspek pengurusan bercakap soal urusan umat, jahil berlagak seperti orang alim, menghafal sepatah dua ayat berlagak hafiz, bukan ulama mengaku dirinya ulama kononnya untuk dihormati dan dikagumi. 

Maka ketika itu bersedialah kita menerima akibatnya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila sesuatu urusan diserahkan kepada bukan ahlinya, maka tunggu saat kehancurannya.” (Hadis riwayat Al-Bukhari) 

Apa yang mendukacitakan, akhir-akhir ini lahir golongan disebut Rasulullah SAW sebagai Ruwaibidhah, golongan sebenarnya tidak berilmu tetapi dilihat berilmu, tidak berkelayakan tetapi cuba menonjolkan diri. 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Akan datang kepada kalian masa yang penuh dengan tipu daya; ketika itu orang akan mempercayai kebohongan dan mendustakan kebenaran. Mereka mempercayai pengkhianat dan tidak mempercayai pembawa kebenaran. Pada masa itu, ruwaibidhah akan berbicara. Rasulullah SAW ditanya: Apakah itu ruwaibidhah? Lalu Rasulullah menyebut: Ruwaibidhah adalah orang bodoh (yang berbicara) urusan umat.” (Hadis riwayat Ibnu Majah dari Abu Hurairah) 

Sebenarnya tidak menjadi salah kepada golongan ini memberi pandangan dan pendapat tetapi masalahnya ilmu tidak cukup untuk bercakap atau memberi pandangan kepada sesuatu yang bukan bidang mereka. 

Al-Imam al-Sayuti menjelaskan, Al-Ruwaibidhah adalah orang lemah yang cuba mencampuri perkara besar dan berusaha untuk memperolehnya. 

Ingatlah bahawa bercakap tanpa berfikir adalah petanda betapa rendahnya ilmu dan rosaknya akhlak. Ilmu yang lahir dari tapisan mulut golongan berilmu menyumbang banyak faedah kepada ummah. 

Kata hikmat orang Arab, orang yang tidak memiliki sesuatu tidak dapat memberikan sesuatu. Di sesetengah tempat kita dapat melihat seorang yang cekap berkomunikasi dan pandai berceramah terus diberi peluang berucap serta membuat pelbagai kupasan berkaitan isu agama. 

Keupayaannya berbicara seolah-olah dia menguasai kesemua disiplin ilmu dalam Islam. Apatah lagi ceramah boleh mendatang pendapatan lumayan maka ramai berusaha menjadi penceramah dengan menghafal ayat atau hadis lalu mentafsirkannya menurut digemarinya, bersesuaian keinginan semasa. 

Golongan berilmu sebenarnya memperoleh kedudukan dan martabat tinggi dalam kalangan penghuni langit dan bumi. 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang berilmu akan diminta keampunan oleh penghuni langit dan bumi hingga ikan yang ada dalam air. Keutamaan orang berilmu dibandingkan dengan ahli ibadah bagaikan bulan purnama atas seluruh bintang.” (Hadis riwayat Abu Dawud, Ar-Tirmidzi dan Ibnu Majah)